Akhirnya 2013 meninggalkan kita semua. Benarlah kata Imam Ghazali RA, yang paling jauh bagi kita adalah masa lepas. Apabila ia lepas, tak mungkin kita dapat menggapainya lagi.
Sebelum aku ingin meneruskan kehidupan ku dan keluarga untuk tahun 2014 yang penuh mencabar (juga digelar Tahun Barang Naik oleh sesetengah perawi politik), ingin ku singkap semula tahun 2013 yang padaku penuh suka dan duka, seperti juga tahun-tahun sebelumnya.
Padaku 2013 begitu banyak perubahan yang berlaku. Bermula dengan kami sekeluarga berpindah dari rumah lama kami di Apartment Damiana, ke teratak indah kami di Tamarinda Proton City. Rumah kami kecil sahaja, tetapi cukup untuk memuatkan 1001 lagi memori kekeluargaan.
Aku juga telah dinaikkan sebagai Ketua Unit e-Pembelajaran di Pusat ICT, UPSI. Satu jawatan yang jika nak kira banyak kerjanya. Tetapi aku terima tawaran ini dengan rela hati walaupun ditolak oleh 2 pegawai yang lebih senior, kerana aku percaya, jawatan ini akan lebih mematang dan mendewasakan diri serta pemikiranku.
Tidak lama selepas aku memimpin sebuah unit yang baru di ICT, kami semua berpindah dari pejabat lama di Bangunan E-Learning Kampus Sultan Abdul Jalil ke bangunan khas Pusat ICT di Kampus Sultan Azlan Shah, Proton City. Di sinilah aku mula dihadiahkan dengan bilik sendiri lengkap dengan perabot yang pelbagai. Untuk pengetahuan, 6 tahun aku bekerja sebagai Pegawai di partition sahaja, tanpa bilik. Malah di BEL, kami tidak dibekalkan dengan partition pun. Apapun, aku amat gembira berpindah di pejabat baru kerana jaraknya dengan rumahku hanya 3.7km berbanding 9.5km sebelum ini. Dalam erti kata lain, aku boleh bertolak ke pejabat jam 7.50 pagi dan masih sempat punch in jam 7.58.
Tidak lama selepas kami berpindah rumah, isteriku disahkan mengandung lagi. Alhamdulillah. Bulan Mei hingga Jun memang agak mencabar, apabila isteriku alah teruk sangat2. Hanya terlantar di atas pada kebanyakan waktu. Akulah yang menjadi abah dan mama sementara pada Amanda dan Rayyan.
5 Mei 2013, pilihanraya umum ke-13. Bukan hanya aku seorang tetapi majoriti rakyat menganggap PRU13 adalah yang paling sengit dalam sejarah demokrasi di Malaysia. Sekali lagi, buat kali ke 3, aku mengundi di DUN Mentakab dan Parlimen Temerloh. Agak menarik apabila kali ini, aku dan adikku Adi dapat pulang bersama-sama dan sempat mengibarkan bendera parti di atas kereta kami pada hari mengundi, kempen saat akhir yang sangat berjaya!
Walaupun laman sosial banyak membayangkan PR menang pada jam 11 ke 12 malam, tetapi akhirnya BN menang jua dengan 131 kerusi. Menariknya buat kali pertama dalam sejarah, undi popular BN lebih kurang daripada lawan iaitu 47% sahaja. Makanya untuk tempoh 4 ke 5 tahun ini, kita diperintah oleh sebuah kerajaan minoriti dan bukan majoriti.
2013 juga membawa satu nafas baru buat pasukan Pahang FA. Di awal musim, mereka hanya dilabel 2 bintang oleh sebuah akhbar. Baru naik dari Liga Perdana, bermain dalam Play off dan dibarisi 90% pemain muda. Akhbar tersebut turut memberikan Kelantan dan JDT 5 bintang. Pahang paling rendah sekali dengan Felda United iaitu 2 bintang. Namun, Pahang menunjukkan kegarangannya apabila berjay menumpaskan JDT 3-2 di SDM selepas ketinggalan 2 gol. Kecemerlangan dan keajaiban Pahang diteruskan apabila berjaya mendapat tempat ke-5 liga Super, layak ke separuh akhir Piala FA serta yang paling gah dan terhebat sekali, juara Piala Malaysia 2013.
Dan pada 30 November 2013, kami telah dikurniakan seorang lagi cahaya Mata iaitu Ahmad Riyadh Rifqi menjadikan kami sekarang dah ada 3 orang anak iaitu Amanda, Rayyan dan Riyadh.
Jika nak kira memang banyak yang manis kerana aku bercadang untuk tidak menulis segala yang tidak manis.