Monday, February 16, 2009

Microsoft Certified Application Developer


Setelah hampir sebulan menunggu, barulah saya mendapat kad dan sijil sebagai MCAD. Hmm, apa dia MCAD ni ek? MCAD adalah satu sijil pengiktirafan la buat pembangun-pembangun sistem atau web menggunakan produk Microsoft seperti Visual.NET dan MSSQL.

Dengan adanya MCAD ni, kita boleh diterima sebagai trainer Microsoft di mana-mana agensi sama ada kerajaan atau swasta. Macam polis jugak la, ada batch baru boleh tahan orang kan.

Nak dapatkan MCAD ni bukannya senang, kena hadir kursus 2 fasa. Fasa 1 3 minggu, fasa 2 2 minggu. Lebih kurang 5 minggu untuk menghabiskan 5 siliburs. Saya dihantar oleh UPSI bersama seorang lagi rakan (Apai) yang mengambil MCSA ke UM (Fasa 1) dan UiTM (Fasa 2).

Soalan dia memang payah giler babas la, pendek kata yang pass tu hanya bertaraf developer otai yang kerja dengan Microsoft dah 10-20 tahun kot. Memang payah la.

Tapi nasib baik kami diberi test kit. Test kit ni dari Internet pun banyak dan senang diperoleh. Ni dah kira macam bocor sket la. Diberi 400 soalan, kena hafal la. Yang keluar 47 je. He2.

Tapi satu perkara la nak citer tentang Microsoft punya development ni banding dengan PHP MySQL. Kalo PHP, pengaturcaraannya lebih mudah kerana kita hanya perlu deal dengan fail-fail PHP dan pangkalan data MySQL sahaja. Fail-fail lain hanya sebagai pembantu sahaja seperti HTML, CSS dan INC.

Tapi kalau kita develop dengan Microsoft melalui Visual.NET, nampak macam senang, tapi bila kita go deep inside, kita akan tahu betapa kompleksnya development dengan Micr. Development for sure melibatkan Visual.NET. File pulak ada solution, ada fail skrip, ada vb sahaja, ada asp pulak..pening kepala aku. Dah program tu, kena set pada COM+ pulak. Dalam COM+ ni ada registry la, DLL la, references la..semakin la berserabut. Dalam DB pulak, diorang kena apply Stored Proc la, trigger la...pening x,korang baca pun pening kan

Tapi sekurang2 pengalaman ni mengajar diriku erti pengaturcaraan bertaraf tinggi. Ilmu ini sebenarnya amat bernilai sma tingginya dengan nilai sijil itu sendiri..cewah, TQ Microsoft.

Thursday, February 5, 2009

Akhirnya Perak jatuh atas kepingan jutaan wang


Setelah 11 bulan memerintah, akhirnya kerajaan PR Perak berjaya ditumbangkan oleh BN. Banyak respons yang saya dengar dari kawan-kawan, bloggers dan rakyat jelata amnya. Hampir 90% mengharapkan Sultan membubarkan DUN bagi membolehkan pilihanraya diadakan.

Ada juga suara2 sumbang yang dangkal mengatakan, jika buat pilihanraya banyak la pakai wang, membazirkan wang rakyat. Bagi saya ini bukan soal membazirkan wang, tetapi untuk membentuk kerajaan melalui lunas undang2. Yang memerintah kita ini adalah lawmakers, electorat dan banyak lagi istilah yang diberikan kepada mereka, takkan kita sanggup membiarkan negeri kita diperintah melalui penipuan, politik wang dan pengkhianatan.

Apa yang terbaik kepada Perak adalah menyerahkan semula kepada rakyat. Namun kita pasti BN tidak akan membubarkan DUN kerana dalam keadaan sekarang, mereka amat tidak yakin dapat menguasai Perak semula melalui undi rakyat.

Di situlah, duit menjadi taruhan. Bahkan menurut ahli-ahli pembangkang yang ditawarkan, jumlahnya bukan sedikit, mungkin mencecah RM50 juta. Nampak mcm jumlahnya ditambah2, tapi tidak mustahil. Tidak mustahil bagi seorang bekas posmen yang dituduh rasuah dan berzina menerima jumlahnya tersebut bukan saja untuk menjadi kaya secara ekspres tetapi melepaskan diri dari tuduhan yang sedang dihadapi.

Apapun, Sultan dah menitahkan, kerajaan BN yang akan memerintah, kita akur sahajalah. Kepada YB Nizar, saya amat kasihan dengan anda. Saya pernah jumpa YB Nizar, bersalaman, malah bersolat jamaah bersama, saya tahu beliau orang baik dan ikhlas.

Memang kita rasa kecewa kerana Perak tersungkur bukan disebabkan pilihan rakyat, tetapi atas kepingan wang ringgit. Bersabarlah rakyat Perak, mungkin mereka untung sekarang, tetapi tak mustahil mereka akan rugi kemudian.

PERAK OH PERAK - Dipetik dari tulisan dam Iluvislam

Perak oh Perak..
www.iLuvislam.com
Imran Koyube
editor : Imran Koyube



Saya masih ingat salah satu pendapat dari seorang pelayar internet yang memberikan pendangan selepan Piliharaya Umum(PRU) tahun lepas; "antara negeri-negeri Pakatan Rakyat(PR), jika ada yang akan tumbang semula ke Barisan Nasional(BN); Perak adalah yang pertama."

Dengan izin Allah, apa yang dibayangkan oleh individu tersebut hampir menjadi realiti apabila Perdana Menteri(PM) Malaysia telah pun mengumumkan Menteri Besar(MB) Perak yang baru malam tadi.

Jika selepas 8 Mac 2008, rakyat Perak khususnya bangsa Melayu sangat risau kerana banyak kerusi Dewan Undangan Negeri dimenangi oleh DAP, kini sekali lagi rakyat Perak dikejutkan dengan peralihan kuasa yang saya pun kurang pasti samada ia berlandaskan undang-undang negeri atau tidak (peralihan kuasa tanpa undi tidak percaya dan parlimen negeri tidak dibubarkan).

InsyaAllah, walaupun saya agak pasti bahawa pemimpin-pemimpin parti politik tidak berkesempatan membaca iluvislam.com, saya, dengan sedikit kelebihan yang ada di sini ingin menulis bukan banyak berkenaan isu terbaru ini. Lagipun saya orang Perak (sebut : Peghok) dan saya sangat lah 'terasa' dengan peristiwa ini.

Saya lebih tertarik untuk mengambil keratan-keratan akhbar Utusan Malaysia Online supaya sahabat boleh fikirkan sendiri dan insyaAllah, saya akan membuat sedikit konklusi.



Wakil Rakyat Melompat Parti Adalah Pengkhianat

"PEKAN 22 Mac - Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan tindakan segelintir wakil rakyat Barisan Nasional (BN) yang 'melompat' ke parti lawan sebagai pengkhianat."

''Mana-mana wakil rakyat yang bertanding dengan menggunakan tiket BN dan kemudian melompat ke parti lain, itu perbuatan yang mengkhianati BN," katanya.

''Kita memilih mereka untuk bertanding menggunakan tiket BN kerana yakin dengan ketaatan mereka terhadap parti selama ini," jelasnya.


Wakil Rakyat Melompat Parti Adalah Pembohong Besar

SHAH ALAM 23 Mac - Mana-mana wakil rakyat yang bertindak melompat parti merupakan pembohong besar yang tidak boleh dimaafkan.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Senator Tan Sri Muhammad Muhd. Taib berkata tindakan seumpama itu tidak bertepatan dengan kehendak majoriti rakyat yang memilih individu tertentu untuk menyuarakan keperluan serta permasalahan mereka.

Ini kerana, seseorang wakil rakyat dipilih bukan hanya berdasarkan karakter semata-mata tetapi ia turut didorong oleh parti politik yang diwakilinya.

"Secara peribadi saya katakan sekiranya ada wakil-wakil rakyat bertindak melompat parti, ia bermakna mereka telah berbohong kepada rakyat yang telah memberikan kepercayaan dan mandat kepadanya.

"Malah, wakil rakyat seperti ini juga dilihat tidak ikhlas untuk memperjuangkan nasib rakyat sebaliknya lebih mementingkan diri serta kedudukan mereka semata-mata.

"Oleh itu, orang seperti ini tidak mungkin dapat memberikan sebarang manfaat kepada rakyat dan parti sebaliknya akan merosakkan sistem demokrasi itu sendiri," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Ahli Politik Sepatutnya Jujur dengan Perjuangan mereka

Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS), Datuk Seri Dr. James Masing berkata, ahli politik seharusnya jujur dan menghormati janji yang mereka buat sebelum menjadi wakil rakyat.

''Isu lompat parti ini seharusnya tidak timbul jika ahli politik jujur dengan perjuangan mereka.

''Selain itu, ahli politik juga harus sedar mengenai mandat yang diberikan rakyat supaya mereka berkhidmat," katanya kepada para pemberita di sini hari ini.

Rampasan Politik Mewujudkan Kerajaan 'Tidak Bermoral'

KUALA LUMPUR 18 April - Pakatan pembangkang hanya akan mewujudkan 'kerajaan tidak bermoral' jika ia meneruskan niat melakukan rampasan politik di negara ini dengan memujuk Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) melompat parti menyertai mereka.

Seorang pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Dr. Mohamad Mustafa Ishak berkata, perbuatan itu jelas melanggar semangat demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan yang diamalkan di negara ini.

''Selain itu, perbuatan yang dirancang ini akan hanya melambangkan pakatan pembangkang tidak menghormati keputusan pengundi yang telah memilih BN untuk menerajui negara pada pilihan raya lalu. Ini adalah satu bentuk pengkhianatan," kata Mohamad Mustafa ketika dihubungi hari ini.

Melompat Parti Menggalakkan Rasuah

Presiden Parti Rakyat Malaysia (PRM), Hassan Abdul Karim berkata, tindakan melompat parti bercanggah dengan sistem demokrasi dan menggalakkan amalan rasuah.

"Jika amalan itu diteruskan, ia hanya akan menjemput malapetaka di negara ini.

"Negara yang aman akan bertukar menjadi kacau-bilau seperti yang berlaku di Haiti, Nigeria dan Timor Leste," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini.

Patuhi Lunas-Lunas Perlembagaan

KUALA LUMPUR 15 Mei - Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan kedudukan Perdana Menteri ditentukan oleh Perlembagaan dan beliau tidak boleh disingkirkan sewenang-wenangnya.

Oleh itu, kata Timbalan Perdana Menteri, apa juga tindakan berhubung kedudukan Perdana Menteri mesti mengikut lunas-lunas Perlembagaan negara.

"Perdana Menteri tidak boleh disingkirkan, ia tertakluk kepada Perlembagaan," katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Mineral Negara di bangunan Parlimen di sini hari ini.

"Pintu Belakang" Tidak Beretika dan Tidak Demokratik

KUALA LUMPUR 8 Ogos - Saintis politik Dr. Chandra Muzaffar berkata, cubaan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjadi Perdana Menteri melalui "pintu belakang" adalah perbuatan yang tidak beretika dan tidak demokratik.

''Kabinet yang ditubuhkan menerusi cara itu dari segi moralnya tidak berkredibiliti. Parlimen sendiri akan tercemar. Badan Eksekutif dan Penggubal Undang-undang - dua cabang penting dalam tabir urus - akan dianggap oleh rakyat sebagai institusi yang kehilangan integriti.

''Ringkasnya, memperoleh kuasa melalui pintu belakang akan merendahkan martabat politik,'' katanya sambil menambah Anwar juga tidak mempunyai mandat untuk menggulingkan kerajaan sekarang yang dipilih secara demokrasi. Anwar, dakwa beliau, terlalu taksub untuk menjadi Perdana Menteri negara ini secepat mungkin.



Konklusi saya:

1. Kepada Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan & Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, mengapa Dato' Seri perlu tergesa-gesa mengambil alih Perak sedangkan negara kita kini menghadapai kegawatan ekonomi? Saya harap Dato' Seri dapat utamakan mana yang lebih utama - demi kepentingan rakyat Malaysia. Dan saya juga berharap Dato' Seri dapat 'cakap serupa bikin' kerana Dato' Seri pernah mengatakan bahawa wakil rakyat yang melompat parti adalah pengkhianat tetapi dalam isu Perak ini, seolah-olah Dato' Seri yang menggalakkan wakil rakyat lain melompat parti.

2. Kepada Penasihat Parti Keadilan Rakyat(PKR) merangkap Ketua Pembangkang di Parlimen,lain kali pilih-lah calon yang benar-benar layak dan 'bersih' untuk mewakil PKR dalam pilihanraya akan datang. Saya fikir Dato' Seri perlu mencontohi pimpinan PAS dalam keputusan pemilihan calon. Selain itu, secara peribadi saya merasakan bahawa Dato' Seri telah 'tewas' dalam isu lompat parti ini kerana BN telah pun menjadikan ia suatu realiti.

3. Kepada sahabat-sahabat yang 'cakna' dengan perkembangan politik negara, jangan lupa doakan negara sendiri
selain mendoakan kesejahteraan umat Islam di Palestin dan lain-lain. Teruskan kewajipan kita semua sebagai seorang pendakwah dan jangan mudah 'down' dengan apa yang berlaku. Jom fahamkan ummah tentang Islam!

p/s: Artikel di atas adalah pendapat peribadi saya & ia bukanlah pendirian rasmi iluvislam.com