Tuesday, May 5, 2009

Manoharan : Proses Baikpulih Parti

1. Sepertimana pilihanraya umum sebelumnya, parti-parti pembangkang seperti PAS, PKR dan DAP telah meletakkan calon-calon mereka hampir di semua kerusi untuk menentang BN. Berbeza dengan BN, mereka ketandusan calon-calon yang berketrampilan tetapi juga berani tampil ke hadapan.

2. Perkara ini tidak pelik kerana bukan mudah nak jadi calon pembangkang. BN dan segala agensi yang dipegang pasti sudah mengenali mereka dan secara tak langsung menyukarkan mereka untuk berurusan dengan pihak kerajaan seperti urusan pinjaman, biasiswa anak dan sebagainya kerana dilabel 'penentang kerajaan'. Memang bukan mudah dan penuh dengan mehnah dan tribulasi. Berbanding BN yang mana calonnya diangkat penuh glamer dan diberi lagi jutaan wang untuk berkempen dan diberikan kepada 'rakyat'. Maklumlah parti yang sedang memerintah, apa yang mereka perlu takutkan.

3. Hal ini pada pandangan saya menyebabkan pembangkang terpaksa meletakkan calon tangkap muat yang lazimnya kurang berkualiti dan tak pandai berpolitik di beberapa kerusi Dun dan Parlimen, dan ia bukan disebabkan oleh kekurangan calon yang kuat, berkaliber dan dikenali rakyat, tetapi atas poin 2 yang dinyatakan tadi. Tambahan lagi, tiada siapa termasuk mereka sendiri menyangka akan memenangi negeri selain Kelantan yang telah 18 tahun diperintah PAS. Matlamat mereka lebih kepada mengurangkan majoriti besar yang diperoleh BN sahaja pada 2004.

4. Namun takdir menentukan pembangkang menerima sokongan besar rakyat dengan menang di 5 negeri dan mendapat kerusi parlimen dan Dun terbanyak dalam sejarah iaitu 82 kerusi parlimen dan 198 kerusi DUN. Atas kemenangan itu, pembangkang menubuhkan Pakatan Rakyat (PR).

5. Untuk menguruskan 5 negeri terutamanya yang tidak pernah diperintah seperti Selangor, Kedah dan Perak bukanlah mudah dan ini disulitkan lagi dengan kemenangan calon-calon PR yang tidak berkualiti kerana 'tangkap muat' tadi. Perlu diingatkan menjadi wakil rakyat bukanlah perkara yang mudah, mereka perlu berhadapan dengan rakyat selain tentangan sengit bagi pembangkang baru iaitu BN.

6. Disebabkan ketidakbagusan ini tadi, beberapa wakil rakyat mula tak tahan dan kalah dengan tekanan politik lantas mengambil keputusan menarik diri. Contohnya wakil Bukit Selambau, Penanti dan yang terbaru Kota Alam Shah.

7. Saya secara peribadi dapat merasakan rakyat mula jelik dengan pilihanraya kecil yang dah nak masuk kali ke 6 dalam tempoh 10 bulan ni. Dan ini tidak mustahil bakal diterjemah dalam bentuk undi di Penanti dan KAS nanti.

8. Walaupun agak meloyakan, saya berpendapat ia adalah proses PR untuk memperbaiki kembali kesilapan dan kekhilafan meletak calon pada Mac 2008 dengan satu-demi-satu pilihanraya kecil. Namun jauh di sudut hati, saya mengharapkan agak ia berakhir di Penanti (atau KAS jika jadi) kerana tiba masanya PR menumpukan kepada kerja-kerja mentadbir negeri pula dari asyik sangat dengan pilihanraya. Saya yakin, apabila genap 2 tahun PR memerintah, rakyat akan mula menilai baik buruknya dan pastinya akan mula menilai kembali parti mana yang akan diundi pada pilihanraya umum akan datang.

No comments: