Tuesday, May 5, 2009

Manoharan : Proses Baikpulih Parti

1. Sepertimana pilihanraya umum sebelumnya, parti-parti pembangkang seperti PAS, PKR dan DAP telah meletakkan calon-calon mereka hampir di semua kerusi untuk menentang BN. Berbeza dengan BN, mereka ketandusan calon-calon yang berketrampilan tetapi juga berani tampil ke hadapan.

2. Perkara ini tidak pelik kerana bukan mudah nak jadi calon pembangkang. BN dan segala agensi yang dipegang pasti sudah mengenali mereka dan secara tak langsung menyukarkan mereka untuk berurusan dengan pihak kerajaan seperti urusan pinjaman, biasiswa anak dan sebagainya kerana dilabel 'penentang kerajaan'. Memang bukan mudah dan penuh dengan mehnah dan tribulasi. Berbanding BN yang mana calonnya diangkat penuh glamer dan diberi lagi jutaan wang untuk berkempen dan diberikan kepada 'rakyat'. Maklumlah parti yang sedang memerintah, apa yang mereka perlu takutkan.

3. Hal ini pada pandangan saya menyebabkan pembangkang terpaksa meletakkan calon tangkap muat yang lazimnya kurang berkualiti dan tak pandai berpolitik di beberapa kerusi Dun dan Parlimen, dan ia bukan disebabkan oleh kekurangan calon yang kuat, berkaliber dan dikenali rakyat, tetapi atas poin 2 yang dinyatakan tadi. Tambahan lagi, tiada siapa termasuk mereka sendiri menyangka akan memenangi negeri selain Kelantan yang telah 18 tahun diperintah PAS. Matlamat mereka lebih kepada mengurangkan majoriti besar yang diperoleh BN sahaja pada 2004.

4. Namun takdir menentukan pembangkang menerima sokongan besar rakyat dengan menang di 5 negeri dan mendapat kerusi parlimen dan Dun terbanyak dalam sejarah iaitu 82 kerusi parlimen dan 198 kerusi DUN. Atas kemenangan itu, pembangkang menubuhkan Pakatan Rakyat (PR).

5. Untuk menguruskan 5 negeri terutamanya yang tidak pernah diperintah seperti Selangor, Kedah dan Perak bukanlah mudah dan ini disulitkan lagi dengan kemenangan calon-calon PR yang tidak berkualiti kerana 'tangkap muat' tadi. Perlu diingatkan menjadi wakil rakyat bukanlah perkara yang mudah, mereka perlu berhadapan dengan rakyat selain tentangan sengit bagi pembangkang baru iaitu BN.

6. Disebabkan ketidakbagusan ini tadi, beberapa wakil rakyat mula tak tahan dan kalah dengan tekanan politik lantas mengambil keputusan menarik diri. Contohnya wakil Bukit Selambau, Penanti dan yang terbaru Kota Alam Shah.

7. Saya secara peribadi dapat merasakan rakyat mula jelik dengan pilihanraya kecil yang dah nak masuk kali ke 6 dalam tempoh 10 bulan ni. Dan ini tidak mustahil bakal diterjemah dalam bentuk undi di Penanti dan KAS nanti.

8. Walaupun agak meloyakan, saya berpendapat ia adalah proses PR untuk memperbaiki kembali kesilapan dan kekhilafan meletak calon pada Mac 2008 dengan satu-demi-satu pilihanraya kecil. Namun jauh di sudut hati, saya mengharapkan agak ia berakhir di Penanti (atau KAS jika jadi) kerana tiba masanya PR menumpukan kepada kerja-kerja mentadbir negeri pula dari asyik sangat dengan pilihanraya. Saya yakin, apabila genap 2 tahun PR memerintah, rakyat akan mula menilai baik buruknya dan pastinya akan mula menilai kembali parti mana yang akan diundi pada pilihanraya umum akan datang.

Perlukah Yang Mulia?

Kita perhatikan masyarakat kita dalam urusan rasmi masih meletakkan gelaran 'Tuan' kepada individu bernama 'Syed' atau 'Syeikh' dan gelaran YM atau 'Yang Mulia' untuk yang bernama Raja atau Tengku.

Saya tidak bercakap mengenai Dato', Tan Sri, YAB, YB dan seangkatan dengannya kerana ia adalah kurniaan khas dari Sultan atau gelaran khas buat wakil rakyat. Tetapi untuk Syed atau Raja (nama), mengapa perlu ada gelaran khas. Bukankah mereka sebenarnya sama sahaja darjat atau tarafnya dengan kita. Itu belum menyebut soal darah lagi seperti cerita P.Ramlee Antara 2 Darjat.

Bukan saja nak persoalkan, tetapi mengapa kita masih perlu mengangkat golongan ini hanya kerana nama yang menjadi tradisi turun temurun sahaja. Mungkin 1000 tahun dahulu kita cukup hormat pada Pak Arab, dan kita panggil mereka Tuan. Jadi keturunan Arab ini pun meletakkanlah 'Syed' pada nama awal mereka, malah ada yang sanggup tak kahwin selagi tak jumpa 'Sharifah' yang kononnya setaraf dengan mereka. Satu pemikiran yang amat kolot, dangkal, dan tak masuk akal. Pada masa kini mungkin kita akan berjumpa orang yang bernama Syeikh atau Syed yang bekerja yang perompak atau pembunuh, adakah kita masih nak panggil mereka Tuan??

Begitu juga Raja dan Tengku, ianya hanya tinggal pada nama sahaja dan hakikatnya mereka mungkin dah hilang segala bau-bau bacang pun dengan Sultan atau Raja. Jadi mengapa perlu gelar mereka Yang Mulia? Adakah mereka lebih mulia dari kita? Adakah Allah akan meletakkan mereka di Syurga lebih awal dari kita? Adakah gelaran YM akan menghalang mereka ke Neraka sekiranya bergelumang dosa?

Poin saya mudah, bukannya hendak mengecilkan atau menyinis orang yang bernama Syed atau Raja, ramai juga kawan saya yang bernama Syed. Malah antara tokoh yang saya sangat kagumi adalah Syed Naquib Al-Attas. Tetapi ini membuktikan orang kita masih lagi berfikiran feudal dan tidak kedepan. Sikap seperti ini tidak akan membawa kemajuan kepada bangsa kita lantaran sifat 'perhambaan' yang masih menebal dan membuta tuli. Tiada salahnya jika kita semua berkongsi gelaran yang sama iaitu Encik, Cik atau Puan. Jika dah terima kurniaan dari Sultan tu, tiada apalah, mungkin banyak jasanya sehingga diiktiraf oleh baginda. Tetapi yang lain-lain tu, takperlu sampai nak kena panggil YM atau Tuan setiap kali dinyatakan nama dalam surat rasmi.

Sunday, May 3, 2009

Putri Kasih Amanda 1 Tahun


28 April 2008, maka genapla puteri sulungku, Putri Kasih Amanda berusia 1 tahun. Alhamdulillah, Allah memberikan kegembiraan dan kebahagian buatku dan isteri dengan kehadiran Amanda. Amanda pula seperti tersangatlah gembira lahir ke dunia dan tumbuh sihat sebaiknya. Semoga Allah memberiku dan keluarga kebahagiaan dunia dan akhirat. Amin.