Setiap perjalanan ribuan batu bermula dengan langkah yang pertama ...
Wednesday, January 12, 2011
Adakah kita rasis?
Apabila kita berhadapan dengan isu kaum dan agama di sebuah negara berbilang kaum di Malaysia, saya sering meletakkan diri saya sebagai orang Melayu atau Islam di sebuah negara yang ditadbir bukan Melayu dan bukan Islam. dari situ, lebih mudah kita menafsir atau mengagak bagaimana perasaan orang bukan Islam dalam menghadapi hal sebegini.
Isu kaum sememangnya amat sensitif tetapi ianya berbeza pada setiap orang. Satu masa dulu abah saya selalu berkata, India tak patut marah jika orang menggelarkan mereka Keling kerana ianya adalah panggilan 'rasmi' terhadap mereka zaman 'Hang Tuah' dahulukala. Begitu juga dengan ungkapan 'Jika jumpa India dan jumpa ular, pukul India dulu'. Itu adalah peribahasa lama yang digunakan orang Melayu sejak beratus tahun bagi mengumpamakan India sebagai bangsa yang pembelit dan sukar dipercayai. Ya, pada ketika itu, saya cukup setuju.
Selepas Mac 2008, negara kita telah dibenihkan dengan begitu banyak isu kaum, yang terbanyak dan terkerap semenjak saya mengenali huruf dan membaca berita. Isu kepala lembu, hak istimewa Melayu, DEB, kuasa Sultan dan yang terkini Interlok. Mungkin dulu sewaktu saya masih remaja, mentah dan tak fikir panjang, kerat jari saya akan sokong Melayu dan hentam habis-habisan bukan Melayu.
Sekarang saya dan beransur matang (atau sepatutnya matang..hehe), dan mula memandang suatu isu dalam perspektif yang lebih luas. Saya selalu berfikir, mengapa kita melakukan ini dan itu bagi orang yang tak sebangsa dan seagama dengan kita. Analogi saya mudah, katakanlah saya tinggal di sebuah negara yang mana majoritinya bukan Melayu / Islam. Semasa tingkatan 5, saya diwajibkan membaca sebuah novel. Di dalam buku ada menyebut Melayu ini datang ke sini sebagai perempat, pemalas, bangsanya kuat dengki antara satu sama lain, suka menipu dan makan benda yang kotor dan busuk seperti durian dan belacan. Pemerintah mengatakan novel tersebut sah kerana itulah hakikatnya bangsa saya dahulu (jika tidak sekarang). Saya cuba menilai perasaan saya jika berhadapan dengan situasi tersebut. Ya, saya akan rasa sangat marah, panas hati dan sangat rasa ditindas. Kawan-kawan walaupun tidak menyindir secara depan, akan bercakap di belakang. Orang yang selama ini mungkin tak tahu, dah jadi tahu. Yang sebelum ini tak benci, dah jadi benci. Bukan kita boleh kawal perasaan seseorang kan.
Jangan salah sangka, pandangan saya ini tidak ditujukan kepada novel Interlok, malahan ramai juga tokoh politik dan sastera mengatakan ia tidak rasis. Saya pun belum membacanya dan tidak berhak saya memberi komen tentangnya. Tetapi untuk hal-hal yang lain, inilah pandangan saya. Dari situ, kita sebagai manusia yang waras boleh menilai samada kita sedang membuat orang lain terasa hati atau tidak.
Subscribe to:
Posts (Atom)