Tahun baru datang lagi. Aku tak begitu peduli pun sebenarnya. Ketika menulis ni pun aku hanya duduk di rumah dengan my lovely wife dan anak-anakku yang comel. Tidak kemana-mana untuk melihat konsert tahun baru, percikan bunga api atau pergaulan bebas anak-anak muda pada detik jam 12 1 Januari 2012.
Apapun, kita kini telah berada di tahun baru. Kena biasalah menulis tarikh dengan tahun yang baru, dan 'kononnya' mencipta lagi azam baru 2012. Pada aku, azam itu tidak memerlukan tahun baru, bila-bila pun boleh buat azam kan.
2011, banyak peristiwa pahit manis ke atas diriku sebenarnya. Yang paling tidak dapat dilupakan pastinya keberangkatan almarhum abahku menemui Allah S.W.T. pada 27 Mei 2011, hari Jumaat. Satu peristiwa yang amat sedih untuk ku ingati semula, dan aku teringat abahku selalu berpesan "Kematian itu suatu yang pasti, oleh itu bersedialah membuat amal sebelum mati".
Kematian abahku menjadikan diriku sebagai ketua keluarga pada masa kini kerana aku adalah anak lelaki yang tertua. Aku juga bertanggungjawab menguruskan pusaka peninggalan almarhum yang sehingga kini masih belum diterima surat kuasa mentadbir untuk pembahagian harta. Harap esok lusa surat itu sudah sampai ke peti pos di Mentakab. Bukan apa, harap segala urusan berkaitan pusaka dapat diuruskan dengan cepat.
2011 juga menyaksikan kami berhari raya buat pertama kalinya tanpa abah tersayang. Aku teringat setiap kali hari raya, kami akan bangun seawal yang boleh untuk solat subuh berjamaah sekaligus bertakbir raya bersama-sama sehingga jam 7.00 pagi. Masa untuk tidur balik pun dan takde, terpaksalah mandi terus dan bersiap-siap untuk masjid bagi mengerjakan solat raya. Abahku selalu berpesan agar tradisi ini diteruskan sehinggalah ke anak cucu dan seterusnya. Insya Allah abah, Insya Allah.
Tahun lepas juga antara tahun yang paling sibuk bagi diriku kerana 2 perkara, pekerjaan dan pengajianku. 2011 merupakan tahun pelajar PJJ di kalangan guru mula mendaftar. Mereka bergantung sepenuhnya kepada sistem MyGuru2 kerana mereka hampir tiada pembelajaran bersemuka dan perlu berkomunikasi dengan pensyarah secara atas talian. Memang memenatkan apabila sistem yang kecil perlu digunakan oleh 7000 pelajar secara aktif. MyGuru2 mula merasai bebannya apabila pelajar PJJ secara serentak perlu memuatnaik latihan dan tugasan masing-masing kepada pensyarah dalam masa 2 hari sahaja. Pada pertengahan Jun 2011, MyGuru2 hampir sepenuhnya 'down'!
Pelbagai cara dilakukan untuk meringankan sedikit bebanan sistem MyGuru yang ditadbir olehku. Antaranya disarankan MyGuru diletakkan ke dalam Cloud, yang mana sistem ini khas untuk pelajar PJJ sahaja. Kertas cadangan projek dihantar ke Pusat ICT pada bulan Julai lagi, tetapi Cloud hanya sepenuhnya direalisasikan pada 12 Disember 2011. Alhamdulillah. Kejayaan terbesar bagi diriku tahun ini adalah berjaya menaikkan MyGuru ke awan biru!! Viva MyGuru3
PJJ memberi bala dan rahmat buatku. Bala kerana beban kerja yang satu ketika sampai tak boleh nak lelapkan mata. Rahmat pula kerana melalui PJJlah, aku dan pasukan MyGuru2 berjaya mengesan pelbagai kelemahan sistem yang perlu ditambahbaik dan diperbaiki. Kerja keras kami dalam menjadikan MyGuru2 lebih robust dan stabil membuahkan hasil apabila kami menang beberapa anugerah di peringkat kebangsaan seperti PECIPTA 2011 (Gangsa), Anugerah Inovasi KPT (bersama SMBU), Anugerah Inovasi Negara (AIN) dan Anugerah Perisian Sumber Terbuka Sektor Awam (MyGOSS). Januari ni boss minta masuk Malaysian Tech Expo (MTE) pulak. Peerggg, x sempat nak rehat, kerja lagikk.
Selain tu, aku juga merasa bangga apabila berjaya membawa kumpulan KIK Pusat ICT yang bernama i-Ray menjadi johan keseluruhan KIK peringkat UPSI. Ini percubaan ketiga i-Ray, yang pertama gagal, kedua gagal, yang ketiga bukan sahaja menang, malah tempat pertama terus menewasakan jagoan KIK seperti Perpustakaan dan JPPHB UPSI.
Alhamdulillah, 2011 menyaksikan aku dan keluarga amat bahagia dan sihat walafiat. Anak-anakku Amanda dan Rayyan dan makin besar dan makin comel (juga semakin lasak). Isteriku juga semakin cun:-) Kadangkala aku fikir, Allah telah memberikan kehidupan yang indah, walaupun aku bukanlah se 'alim' mana. Bila terfikirkan sebegitu, aku jadi insaf dan sebak, kerana memikirkan Allah yang Maha Pemurah begitu bermurah hati dengan diriku. Aku sentiasa berdoa akan hari-hariku akan datang sentiasa dimurahkan lagi rezeki dan kebahagian kepada aku dan keluarga serta dimantapkan iman dan takwa dalam jiwaku. Tahun baru atau tidak, tak penting, yang penting adalah esok mesti lebih baik dari hari ini dan hari ini mesti lebih baik dari semalam