Saturday, July 2, 2011

Memoir Abahku

Abahku Selamat Ahmad Kamal dilahirkan pada 4 Disember 1945 di Kampung Ajai, Raub, Pahang. Disebabkan kesilapan kakitangan hospital pada masa itu, ditulis 1946. Abah selalu menceritakan tentang itu dan pada hakikatnya memang abah dilahirkan pada 1945. Abah selalu menceritakan kepada kami dia dimandikan di tebing Sungai Dong di bawah payung, mungkin untuk mengelakkan terkena embun pada waktu itu.

Arwah Aki Alang memang terkenal sebagai seorang yang tegas dan garang, tetapi memiliki sekeping hati yang mulia dan sangat berprinsip. Sebagai seorang guru, Aki Alang memiliki karisma dan ideologinya yang tersendiri dan memandang persekitaran melangkaui jangkauan majoriti. Ketegasan dan kegarangan arwah aki sering diceritakan abah kepada kami dan membandingkan dengan dirinya yang ‘kurang’ garang tetapi masih garang.

Mungkin pada waktu itu, didikan yang terbaik adalah dengan ‘mengajar’ anak menjadi baik, tidak melakukan itu dan ini. Abah selalu mengulang ayat yang sama kepada mama “Biar dema menangis, jangan kita menangis”, buat bunyi Dong sikit. Abah selalu menceritakan Uncle Din (Salehudin, arwah) dan Uncle Mer (Amiruddin) yang selalu kena libas. Biasalah, agak nakal sikit. Abah sering menceritakannya dirinya kurang sikit nakal, tapi sekali sekala tu kena juga.

Adik-beradik abah semuanya mengaji dengan arwah aki, dan abah selalu cerita aunty nani dan nandai selalu menangis kerana diketuk rokok paip kalau tersilap. Lempangan dan tamparan tu memang biasa la. Mungkin arwah abah juga terbawa-bawa perkara yang sama semasa mengajar kami mengaji. Aku, kakak dan Adi selalu jugaklah menangis lepas mengaji. Tetapi Alhamdulillah, mungkin tinggi berkatnya mengaji sambil menangis selepas dilempang. Aku, kakak dan adikku Adi Berjaya khatam Al-Quran sebelum Darjah 6 lagi. Adik bongsuku Putri tak sempat diajar oleh arwah dan hanya mengaji samada dengan mama atau wo(nenek, dalam bahasa Kampar).

Arwah Aki meninggal muda, hanya sempat menimang seorang cucu sahaja iaitu Abg Zainal (arwah), anak sulung kepada Makwe Nun (arwah) dan Pakwe Jaafar. Mati dihujung tanduk kerbau yang mana turut mencederakan punggung abahku dan uncle Amir. Innalillah, sangat menyayukan kerana abah dan adik-adik masih kecil ketika itu. Tinggallah Wan Dongnya yang terus menjanda sehinggalah meninggal dunia pada tak silap 2006.

Selepas kematian Aki, pengembaraan Abah pun bermula. Langkah demi langkah ditapakkan dengan penuh berdikari dan tinggi maruah diri. Dari sekolah membawa ke maktab dan menjadi guru. Menyambung pengajian di USM sebagai mahasitua. Abahku pernah mencerita dia tak pernah join Minggu Orientasi yang pada waktu itu dianjurkan Persatuan Mahasiswa yang pro UMNO. Abahku hanya tengok dari jauh dan buat dek sahaja. Apabila tahu abahku masih belum di’basuh’ selepas tamat minggu orientasi, ada antara mereka yang mahukan abah diorientasikan sekali mengikut kehendak mereka. Abah jawab apa “Kalau berani, cubalah”.

Abah pernah menceritakan dia tak berkenan dengan cara persatuan mahasiswa tersebut mengendalikan orientasi. Bayangkan semua pelajar dikehendaki membawa sebiji kerusi di mana-mana sahaja mereka berjalan. Kononnya itulah ‘ilmu’ yang akan kita pikul nanti. Persoalan abah, kenapa facie tu tak bawa kerusi sekali, ‘penat’ dah ke menuntut ilmu?

BERSAMBUNG

1 comment:

Anonymous said...

TAKHZIAH WIRA.....